Mengapa Chong putar belit?

0
525
Datuk Seri Fadillah Yusof

Adakah Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen timbalan menteri atau kaki putar belit?

Chong Chieng Jen yang memangku jawatan Timbalan Menteri di Kerajaan Persekutuan sepatutnya memperjuangkan peruntukan pembangunan Belanjawan 2020 yang lebih besar untuk Sarawak dan Sabah, seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Semasa pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini, kedua-dua negeri hanya mendapat 17.1 peratus bukan 30 peratus seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Sekiranya Chong bukan kaki putar belit, beliau harus memperjuangkan perkara ini dan memastikan janji-janji yang dibuat kepada rakyat Sarawak dan Sabah semasa pilihan raya lalu dipenuhi.

Timbul persoalan, adakah Chong Timbalan Menteri di Kerajaan Persekutuan atau kaki putar belit yang bersekongkol dengan Kerajaan Persekutuan untuk menentang Sarawak?

Dalam kenyataan hari ini, Chong berkata, peruntukan RM9.6 bilion (Sarawak RM4.5 bilion, Sabah RM5.1 bilion) adalah bersamaan dengan 31.9 peratus daripada dana pembangunan sebanyak RM56 bilion dalam Belanjawan 2020.

Kata Chong, maka ia memenuhi manifesto PH iaitu 30 peratus daripada semua dana pembangunan yang dijanjikan.

Chong memberikan alasan dengan mengira kedua-dua negeri juga berkongsi RM25.9 bilion dana pembangunan, walaupun realiti peruntukan itu tidak disalurkan terus kepada Sabah dan Sarawak.

Beliau hanya memberitahu kedua-dua negeri akan mendapat manfaat.

Perkara ini bukan seperti dijanjikan oleh Pakatan Harapan sebelum ini.

Mengikut perkiraan, 30 peratus daripada RM56 bilion perbelanjaan pembangunan, maka Sarawak dan Sabah tidak sepatunya mendapat RM9.6 bilion.

Ia sepatutnya RM16.8 bilion, bukan RM9.6 bilion.

Sabah dan Sarawak tidak mendapat apa-apa peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan kadar tol di Semenanjung Malaysia yang dijangka menelan kos berbilion ringgit.

Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telah mengambil langkah memansuhkan beberapa tol di Semenanjung untuk meringankan beban rakyat dan Kerajaan Negeri juga sudah menghapuskan semua tol di Sarawak.

Sarawak juga tidak mendapat manfaat daripada projek ECRL, MRT2, LRT3 dan projek lain di Semenanjung Malaysia yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.

Jadi cadangan DAP mencadangkan Sabah dan Sarawak menanggung sebahagian peruntukan ini adalah tidak masuk akal.

Sebagai anak Sarawak, Chong mesti berhenti bersekongkol dengan Kerajaan Persekutuan. Kita memohon penjelasan mengapa Sabah dan Sarawak tidak mendapat apa yang dijanjikan dalam manifesto.

Sebagai permulaan, Chong mesti menegaskan Sabah dan Sarawak mendapat:

RM16.8 billion perbelanjaan pembangunan Belanjawan 2020 – bukan RM9.6 bilion

20 peratus royalti minyak

50 peratus cukai pendapatan yang dikumpul dari Sabah dan Sarawak dibayar kepada kerajaan negeri Sarawak

Janji tetap janji.

Sebagai anak Borneo, Chong mesti berjuang untuk kita.

Bukan berjuang dengan Kerajaan Persekutuan menentang kita.

Dato Sri Fadillah Yusof
Ketua Whip GPS
Ahli Parlimen Petra Jaya
(16.10.2019)

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here