Elak krisis makanan, Rohani

0
383

KUALA LUMPUR – Tumpuan dan perhatian harus diberi penekanan oleh Kerajaan Persekutuan dan tidak perlu dipolitikkan dalam projek jelapang padi negara mempastikan Malaysia tidak melalui sekali lagi krisis makanan.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, projek jelapang padi tersebut adalah projek keselamatan makanan negara dan bukan projek ahli parlimen Batang Lupar sahaja.

Bagaimanapun katanya, didapati tiada dalam Bajet 2020 untuk menambah baik semua jelapang padi negara termasuk di Batang Lupar yang masih dalam pembangunan.

“Saya harap Malaysia tidak akan melalui krisis makanan yang berlaku beberapa tahun yang lalu yang kalau tidak ditangani dengan baik akan menimbul keadaan huru-hara dalam negara.

“Ini sepatutnya menjadi pengajaran dan seharusnya semua jelapang padi dalam negara di jaga dan di tambahbaik sentiasa untuk memastikan tahap sara diri (ssl) 70 peratus atau lebih mesti sentiasa dikekalkan,” katanya ketika perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, beliau melihat agihan peruntukan Belanjawan 2020 itu yang tidak adil kepada Sarawak memandangkan wilayah itu hampir sebesar seluruh Malaysia – tolak Melaka, rakan menubuhkan Malaysia dan keadaan pembangunan yang masih ke belakang dengan jurang pembangunan lebar jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia.

Tambah Rohani, jelapang padi Batang Lupar hanya diwujudkan pada 2014 sebagai teraju utama jelapang padi baharu yang pertama di Sarawak dan untuk menampung SSL negara sebanyak 30 peratus.

“Kalau jelapang padi Batang Lupar ini mula produksi dengan sasaran 30 peratus, bermakna Malaysia tidak perlu mengimpot beras dari luar dan berkemungkinan Malaysia boleh menjadi pengeksport beras pula kepada negara-negara lain.

“Pada masa ini Kementerian Pertanian & Industri Asastani sedang giat membangunkan projek-projek infrastruktur pertanian seperti membina, menaiktaraf dan menyelenggara infrastruktur pengairan dan saliran sawah di kawasan tersebut seluas 5,100 hektar,” jelasnya.

Beliau berharap, agar projek jelapang itu diteruskan dan dipercepatkan pembangunan untuk memberi harapan serta kesejahteraan kepada pesawah-pesawah di Kawasan Stumbin, Bijat, Gran, Entulang, Seduku dan Lingga-Banting.

“Jangan hanya memfokus kepada penanaman padi pulut di Langkawi sahaja yang dijadikan produk perdana,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pembanguanan pertanian untuk membantu petani, nelayan dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan dengan peruntukan RM150 juta adalah tidak mencukupi untuk galakan program integrasi makanan seperti cili, nenas, kelapa, tembikai dan produk industri asas tani.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here