Loji Perintis Lembah Bio Sarawak di Universiti Curtin Malaysia

0
445
Uggah mencuba salah satu botol minyak ekstrak sambil diperhatikan isterinya Datin Amar Doreen Mayang dan Kuek.
Kuek sedang menerangkan fungsi mesin yang terdapat di fasiliti loji perintis tersebut.
Minyak yang diekstrak di Loji Perintis Lembah Bio Sarawak

MIRI – Loji Perintis Lembah Bio Sarawak di Universiti Curtin Malaysia (Curtin Malaysia) akan menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian di negeri ini.

Loji yang dibina dengan kos kira-kira RM60 juta dan satu-satunya di Sarawak itu dapat menjadi pemangkin untuk memaju dan mengkomersialkan produk tempatan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, loji ini menyediakan teknologi tinggi yang diperlukan Sarawak dalam menghasilkan produk berkualiti untuk pasaran luar negara.

“Sebagai contoh, jika kita hendak mengeksport tebaloi ke luar negara, kita perlu perlu tahu kandungan, kualiti dan mematuhi kriteria yang ditetapkan.”

“Justeru kerajaan akan menggunakan loji perintis ini untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk pertanian Sarawak. Kita tidak akan bina fasiliti lain kerana loji perintis ini sudah ada dan dilengkapi dengan peralatan moden,” katanya semasa lawatan ke Loji Perintis Lembah Bio Sarawak, Curtin Malaysia.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, kerajaan akan memanfaatkan loji perintis ini untuk melakukan penyelidikan dalam usaha mentransformasikan pertanian.

Sementara itu Dekan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Pengarah Curtin Malaysia Research Institute (CMRI) Profesor Clem Kuek berkata, loji perintis ini bertujuan untuk menyokong pembangunan produk baharu berasaskan bio dan pemprosesan.

“Loji ini menyediakan fasiliti untuk membantu pihak industri dalam phyto kimia dan pemprosesan bio. Selain itu kemudahan ujian berkualiti tinggi dan pembangunan untuk industri menjalankan analisa produk, peningkatan dan jaminan kualiti.”

“Di samping itu melaksanakan penyelidikan dan latihan untuk industri dan agensi penyelidikan ,” kata Kuek semasa taklimat loji tersebut.Sebagai contoh, Kuek menambah penyelidikan potensi komersial tumbuhan tradisional di makmal tidak memadai untuk menyakinkan industri melabur menghasilkan produk itu secara komersial.

Namun loji perintis seperti di Curtin Malaysia mempunyai kelebihan data pemprosesan secara komersial yang relevan.

“Sampel ekstrak yang dihasilkan oleh loji itu amat penting untuk menyakinkan pelabur sebelum produk itu dikeluarkan secara komersial.

Selain itu loji ini berupaya melaksanakan pemprosesan bio skala perintis seperti pengeluaran biojisim mikrobiologi dan bahan kimia yang halus, pemprosesan fito untuk mengeluarkan produk berharga daripada bahan tumbuhan dan analisis bahan.

Pada masa kini, loji itu melakukan pengekstrakan terhadap produk bernilai tinggi seperti dabai, frankincense, lada hitam selain halia dan lemak haiwan.

Kuek menambah, pada masa datang pengekstrakan dan R&D terhadap buah melada pahit, buah mahkota dewa, moringa oleifera dan halia bara untuk tujuan nutraseutikal.

Semasa lawatan, Uggah turut dibawa melawat Makmal Persediaan Sampel, Makmal Pengekstrakan, Makmal Penapaian, Makmal Analitikal, Makmal Formulasi Produk dan tiga makmal serba guna.

Beliau turut berpeluang melihat sendiri minyak ekstrak yang dihasilkan selain menikmati sampel buah nanas dan dabai yang dikeringkan di loji perintis itu.

Perbelanjaan operasi dibiayai oleh Curtin Biovalley Sdn Bhd manakala Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi melalui Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) menyediakan peruntukan tahunan berjumlah RM1.2 juta untuk penyelenggaraan aset fizikal di loji itu.

tamat/caption:uggah_biovalley-p1Uggah (tengah) bersama Kuek dan Ketua Pegawai Operasi Curtin Malaysia William Pieter Pottas (paling kanan) bersama yang lain selepas mengadakan lawatan.uggah_biovalley-p2Kuek sedang menyampaikan taklimat mengenai Loji Perintis Lembah Bio Sarawak sempena lawatan Uggah ke sana.uggah_biovalley-p3 dan uggah_biovalley-p4uggah_biovalley-p5uggah_biovalley-p6Uggah (kiri) memegang botol minyak ekstrak, kelihatan sama Kuek manakala paling kanan Ketua Pegawai Operasi Curtin Malaysia William Pieter Pottas uggah_biovalley-p7

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here