Pemberian khas perlu menggunakan formula betul – Abang Johari

0
417

KOTA KINABALU – Pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 seharusnya menggunakan formula betul bagi mendapat jumlah patut diberikan kepada Sarawak dan Sabah.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Pemberian Khas tahunan tersebut mestilah berdasarkan formula tertentu dan bukannya hanya ‘one off’ malah berdasarkan keadaan hasil minyak dan gas negara.

“Jika ada kenaikan hasil, maka kena kira berdasarkan itu dan juga jika bagi kerugian.

“Orang kata kalau susah sama susah, kalau senang sama senang.

“Kita tidak mahu bila senang dia lupa Sabah dan Sarawak, itu yang kita takut,” katanya ketika sidang akhbar bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas membuat lawatan balas bersama rombongan di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa Sarawak susah untuk berpuas hati dalam soal agihan peruntukan belanjawan, Abang Johari menjelaskan, sememangnya dari sudut wilayah pihaknya tidak berpuas hati kalau dikaji dari keluasan negeri dan sumber yang ada telah diagihkan.

“Rasionalnya dia bandingkan kita, negeri dengan negeri. Bandingkan kita dengan Perlis banding dengan negeri di Semenanjung.

“Rasionalnya agihan itu tidak adil kerana jika anda mempunyai keluasan yang besar maka memerlukan lebih wang untuk membina infrastruktur asas,” ujarnya.

Abang Johari memberitahu lagi, sebab itu Sarawak mahu pengagihan peruntukan kena rasional mengikut keluasan yang menyebabkan pihaknya terpaksa mencari dana sendiri.

“Sebab itu, sumber minyak dan gas dimiliki Sarawak perlu diagihkan sebaik-baiknya agar kita dapat membangunkan infrastruktur asas rakyat

“Maka kita terpaksa inovatif sedikit mencari pendapatan dalam kerangka hak Perlembagaan dimiliki, dibawah kuasa negeri bagi mencari dana demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari juga menyatakan pihaknya ada berbincang dengan Sabah dalam soal industri minyak dan gas yang mempunyai kepentingan yang sama.

“Pegawai kanan kerajaan negeri mereka juga akan teruskan apa tindakan lanjut yang harus kita laksanakan selepas ini,” katanya.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here