Pindaan Kanun Tanah Teliti, Abang Jo

0
305

SIBU – Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu pindaan Kanun Tanah Negeri bukan dibuat sebarangan namun melalui banyak rundingan bagi membolehkan hak penduduk peribumi memiliki dan menggunakan tanah itu terjamin.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah banyak bermesyuarat dengan pakar undang-undang, adat resam, pemimpin masyarakat dan pihak berkaitan dalam pengurusan tanah.

Malah katanya, mantan Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) sebelum meninggal dunia meminta beliau dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah untuk menyelesaikan isu NCR ini dengan teliti dan berhati-hati demi manfaat pemiliknya.

“Kita tidak boleh membiarkan orang membuat tuntutan tanah bertindih atau tuntutan yang tidak pasti kerana ini akan menyebabkan pergaduhan dalam kalangan mereka sendiri.”

“Justeru pindaan dibuat untuk menggelakkan konflik seumpama ini yang sudah sekian lama menghantui pemilik tanah,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Forum Kanun Tanah Peringkat Zon Tengah di sini hari ini.

Beliau menambah, pindaan itu melindungi domain kawasan peribumi yang terdiri daripada Pemakai Menoa dan Pulau Galau.

Beliau turut menafikan pindaan itu bertujuan mengurangkan saiz tanah bumiputera namun ia bertujuan memastikan pengurusan tanah yang lebih berstruktur di negeri ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Jaul Samion.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here