Cukai Petroleum Hak Sarawak, Abang Jo

0
355

SIBU – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg beri jaminan isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan ke atas Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan selesai dalam tempoh beberapa bulan.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat bersabar kerana kerajaan negeri sudah buat perbincangan perkara ini dengan kerajaan persekutuan lapor The Borneo Post.

“Saya sudah tegaskan kepada mereka, apa yang menjadi hak Sarawak tetap hak Sarawak. Apa yang mereka punya, itu hak mereka (Semenanjung) tetapi mesti hormat hak Anak Sarawak,” katanya semasa sesi TownHall ‘Berambeh Ngan Abang Jo’ yang dihadiri kira-kira 1,000 warga Sibu di Dewan Kompleks Islam Sibu, hari ini.

“Petronas masih berhutang dengan Sarawak. Kita tetap dengan pendirian tegas dan mahu mereka hormat hak kita walau dalam apa jua situasi,” tegas Abang Johari.

Terdahulu beliau berkata, sejak 1976 hingga 2018, jumlah pendapatan yang diambil daripada pengeluaran dan jualan minyak dan gas dalam wilayah Sarawak berjumlah RM660 bilion namun hanya 5 peratus atau RM33 bilion dibayar kepada Sarawak.

“Oleh itu kita mahu melaksanakan cukai lima peratus terhadap produk petroleum Sarawak untuk menambah sumber pendapatan,” katanya.

Petronas dikenakan cukai lima peratus bermula Januari tahun ini dan tarikh akhir pembayaran ialah 30 September lalu.

Katanya, syarikat minyak seperti Shell, Murphy Oil dan Pertamina bagaimanapun sudah menyelesaikan cukai tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong dalam komen menerusi Facebook tidak melepaskan peluang mempersenda kenyataan Ketua Menteri.

“Saya fikir kaki (orang kamu) beritahu penghujung bulan Oktober kerajaan Sarawak akan menyaman Petronas jika tidak membayar SST. Mengapa cakap besar lagi?” katanya.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here