KUCHING – Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menyangkal kenyataan media sosial Pengurus Besar Bintulu Development Authority (BDA) Rodziah Morshidi bahawa beliau melakukan serangan peribadi berkaitan prestasi dalam BDA.

Tiong berkata, beliau percaya tuduhan itu timbul berikutan kenyataan beliau pada 1 Oktober yang menegur prestasi BDA dalam melakukan kerja pembinaan dan penyelenggaran infrastruktur di Bintulu.

Beliau kesal terhadap Rodziah, yang tidak dapat mengambil teguran itu dari sudut positif sebaliknya mengambarkan beliau sebagai mangsa buli dengan harapan mengaburi pandangan orang awam terhadap kelemahan BDA.

“Merujuk kepada kenyataan saya sebelum ini mengenai BDA, saya mahu jelaskan tiada serangan peribadi ke atas Rodziah atau mana-mana individu.”

“Lagipun, tiada sebab untuk saya melakukan serangan peribadi ke atas Rodziah. Sepanjang kerjaya politik saya tidak pernah melakukan serangan peribadi kepada sesiapa, kecuali prestasi kerja yang memberi kesan terhadap kawasan saya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tiong menambah, sebagai ahli parlimen beliau perlu menegur kelemahan ketua jabatan atau badan berkuasa tempatan agar penyelesaian dapat diambil demi kebaikan rakyat di kawasan itu.

Dalam kenyataan itu, Tiong memberitahu BDA perlu bertanggungjawab terhadap longkang tersumbat berhampiran tapak pembinaan berikuatn musim hujan.”

“Tiada apa-apa yang peribadi melainkan Rodziah percaya ini bukan dibawah bidang kuasa BDA. Sekiranya rakyat mengadu dengan saya, sudah tentu saya rujuk dengan BDA.”

“Sebagai penduduk Bintulu sendiri, sudah tentu langkah pertama yang diambil oleh Rodziah ialah mengarahkan BDA untuk bertindak. Atau adakah saya sebagai ahli parlimen yang patut beri arahan?” katanya.

Tegas Tiong, beliau sudah beberapa kali menerima aduan longkang tersumbat berpunca daripada kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan namun maklum balas yang diterima daripada BDA ialah – perkara itu akan diteliti.

Katanya, Rodizah memberitahu terdapat ‘ruang’ untuk berbincang bagi masalah itu namun Tiong mempersoalkan berapa banyak masalah tersebut yang sebenarnya sudah diselesaikan.

“Mac tahun ini, semasa dialog bersama komuniti Sebauh di Bintulu, seramai 270 ketua masyarakat dan wakil datang dari jauh untuk membincangkan isu pembangunan dan infrastruktur di kawasan mereka.”

“Rodziah datang pun tidak, hanya hantar wakil untuk hadir mesyuarat tersebut,” kata Tiong.

Katanya, sistem mitigasi banjir di Bintulu perlu dinaiktaraf dan diperbaiki untuk mengelakkan banjir kilat selain masalah lain seperti lampu jalan gelap.

Beliau mencadangkan masalah yang dihadapi oleh penduduk Bintulu ini diselesaikan melalui sesi townhall antara Rodziah dan orang awam.

“Respon Rodziah dalam media sosial jelas menunjukkan beliau enggan mengakui kesilapan sebagai pengurus besar BDA apabila sepatutnya bertanggungjawab kepada orang awam, bukan bersembunyi disebalik pengikut media sosial.”

“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyampaikan suara rakyat di kawasan saya kepada pihak berkuasa. Namun kenyataan saya diputarbelit. Dalam kes ini ini, buatlah dialog dan biar kebenaran diketahui,” kata Dato Sri Tiong King Sing

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here