Capaian internet Sarawak kepada 5G

0
388

KUCHING – Usaha sedang dijalankan untuk memastikan capaian internet Sarawak meningkat kepada 5G dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dari 2021-2025.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata, apabila kelajuan 5G dicapai, kerajaan negeri akan mewujudkan dua ‘gateway’ menghubungkan Sarawak dengan negara ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah

Katanya, gateway pertama akan berada di Kuching yang akan dihubungkan dengan Lawas di Bahagian Limbang menggunakan kabel dasar laut.

“Lawas akan dihubungkan dengan Hong Kong kemudian AS dan Eropah.

“Dalam tempoh lima tahun dibawah RMK12, kita akan melabur melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan agensi kerajaan berkaitan untuk naik taraf standard capaian internet ke 5G,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Borneo International Drone and Robotics Explore 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK) hari ini.

Tambah beliau, Pusat Kecemerlangan Teknikal milik Sarawak juga akan bekerjasama dengan Huawei Technology Company of China untuk memasang kabel dasar laut dari Kuching ke Lawas.

“Bagi gateway kedua akan dibuat di Miri disamping kerajaan negeri bekerjasama dengan Internet Service Provider (ISP) di Brunei untuk membolehkan Sarawak dirangkaikan dengan negara ASEAN termasuk Hong Kong, AS dan Eropah.

“Rangkaian ini membolehkan kita memasarkan produk ke seluruh dunia,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, rancangan itu hanya dapat dilaksanakan jika Gabungan Parti Sarawak kekal berkuasa dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Kita akan melaksanakan rancangan ini dan saya sebagai Ketua Menteri akan terus menekankan penggunaan teknologi dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan mengukuhkan ekonomi,” ujarnya.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here