Sarawak kuatkuasa undang-undang perikanan

Skim bantuan nelayan Sarawak diumum November

0
1167

Undang-undang perikanan Sarawak dipinda – Abang Johari

OYA – Undang-undang mengawal selia perikanan sungai dan pesisir akan dipinda dalam usaha mengabungkan pelbagai kuasa dibawah bidang kuasa negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Johari Tun Abang Openg, berdasarkan Perlembagaan Pesekutuan, perikanan sungai dan pesisir di Sarawak terletak bawah kuasa negeri.

Sehubungan itu katanya, ia menjadi hak kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk meminda undang-undang mengikut keperluan.

“Peguam-peguam negeri sedang melihat pindaan perundangan ini namun ia mungkin tidak sempat dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri November nanti.

“Jika tidak sempat pada November ini, kita akan bentangkan pada sidang April,” katanya ketika merasmikan pelancaran kerja pemasangan tukun bola tiruan di sepanjang pesisir Oya-Mukah hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Muda Pembangunan Urban dan Sumber Asli, Datu Len Talif Salleh dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM70 juta untuk meletakkan tukun bola sepanjang pesisir Sematan ke Lawas meskipun kerajaan Persekutuan telah menghentikan bantuan.

Undang-undang sedia ada yang mengawal selia perikanan sungai dan perairan laut adalah Ordinan Perikanan Sarawak 2003.

Tambahnya, pindaan itu membolehkan Sarawak mengurus dan mentadbir aktiviti perikanan di sungai dan perairan secara berstruktur dan tersusun.

Jelas Abang Johari lagi, pindaan itu antaranya akan memberi kuasa kepada unit penguatkuasaan sendiri untuk menguat kuasa undang-undang perikanan di negeri ini.

Menurutnya, unit penguatkuasaan itu akan mempunyai kuasa untuk menjaga kawasan pesisir disamping menahan nelayan asing yang menceroboh perairan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak juga sedang mencari formula bagi skim bantuan nelayan yang kehilangan pendapatan ketika musim monsun.

“Kita perlu membantu nelayan dengan Kerajaan Persekutuan memutuskan menghentikan pemberian bantuan seumpama itu. Saya akan mengumumkan jumlah bantuan kita pada sidang DUN November nanti,” ujarnya.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here