Ketawa berlebihan mulut tak dapat tutup

0
1223

CHINA – Seorang wanita terpaksa dipulihkan rahangnya oleh doktor selepas ia terlucut disebabkan ketawa terlalu kuat.

Ketawa adalah ubat yang terbaik, tetapi perumpamaan ini tidak kena bagi wanita ini.

Kejadian luar biasa ini berlaku pada 1 September lalu semasa di atas keretapi berkelajuan tinggi menuju ke Stesen Guangzhou Selatan.

Doktor Luo Wensheng yang menaiki keretapi dari Kunming di Yunnan untuk ke Hospital Liwan terdengar rayuan kecemasan untuk bantuan perubatan yang disiarkan melalui pembesar suara kereta api.

Dia bergegas membantu dan menemukan seorang penumpang wanita yang ternganga mulutnya dan meleleh air liur, simptom tipikal strok, tetapi tekanan darahnya normal.

Hanya selepas bercakap dengan orang ramai yang menyaksikan insiden tersebut dia mengetahui bahawa wanita itu tidak dapat menutup mulutnya kerana tertawa.

“Air liurnya meleleh, jadi pada asalnya saya ingat dia mengalami strok.

“Tetapi saya mengambil tekanan darahnya, kemudian bertanya kepadanya beberapa soalan, dan mengetahui bahawa dia sebenarnya telah tercabut rahangnya,” katanya kepada Guancha News.

Malangnya, Wensheng, yang bukan pakar dalam bidang perubatan ini, berada dalam situasi tidak selesa untuk memperbaiki wajah wanita itu.

Wensheng memberitahu wanita itu bahawa dia akan cuba membantunya, tetapi ada risiko tinggi tidak akan dapat membetulkan rahangnya namun, wanita itu mahu cuba.

“Pesakit agak gementar dan otot mukanya semua sangat tegang, jadi ia gagal pada percubaan pertama.

“Saya menasihati dia untuk pergi ke hospital, tetapi staf kereta api memberitahu kami bahawa ia mengambil satu jam lagi.

“Wanita itu menjadi sangat gelisah dan mahu rahangnya segera dibetulkan, jadi saya bersetuju untuk mencuba lagi,” jelasnya.

Kali ini, doktor cuba untuk menetapkan rahangnya semasa pesakit itu teralih tumpuan dan berjaya.

Sejurus mulutnya berjaya terkatup semula, wanita itu mengucapkan terima kasih kepada doktor itu dan memberitahu dia pernah tercabut rahangnya sebelum itu kerana termuntah dengan teruk semasa hamil.

Rupa-rupanya, sekiranya rahang anda pernah tercabut, ia mungkin terjadi lagi, semasa menguap, ketawa atau hanya membuka mulut anda terlalu banyak.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here