Operasi Pembenihan awan di Sarawak dimulakan

0
1084

KUCHING, 20 Sept: Operasi Pembenihan awan di Sarawak dimulakan hari ini dengan menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bagaimanapun, menurut Timbalan Pengarah Pejabat Meteorologi Sarawak, Siniarovina Urban Sinyaw, potensi untuk menjumpai awan jenis ‘towering cumulus’ di Sri Aman yang diramal terbentuk pada sekitar pukul 1 petang adalah dalam 20 hingga 30 peratus sahaja.

Katanya, analisa telah dibuat dengan mengukur arah angin berdasarkan satelit dan radar untuk memastikan ada potensi pembentukan awan.

Ini kerana kawasan di Sri Aman adalah agak kering pada masa ini.

Sebelum itu katanya, pesawat C-130 TUDM akan terbang mencari awan yang sesuai mengunakan peta hasil analisa tersebut.

Operasi pembenihan awan (OPA) itu menurut beliau dilakukan pada ketinggian 4,500 kaki sehingga 7,000 kaki.

Kejayaan pembenihan awan itu juga bergantung kepada perubahan arah angin.

“Kita harap apabila kita melakukan pembenihan awan, ia akan menolak pembentukan awan itu ke kawasan berjerebu supaya dia boleh meredakan jerebu,” katanya.

Hujan yang dihasilkan melalui operasi tersebut diharap dapat meredakan keadaan berjerebu di Sarawak.

Ianya tidak dapat menghilangkan jerebu secara keseluruhan kerana punca jerebu masih dagi berlaku di Kalimantan, Indonesia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pesawat berkenaan akan melalui ruang udara Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Saratok, Sarikei, Kanowit, Sibu, Mukah, Sematan dan Bau sepanjang tiga hari operasi dijalankan.

Laluan yang dilalui pada hari ini ialah dari Kuching, Kota Samarahan dan Sri Aman serta beberapa kawasan lain, katanya selepas melawat persiapan operasi pembenihan awan di Pangkalan TUDM Kuching, di sini, hari ini.

Mengenai OPS STC yang memasuki hari kelima hari ini, beliau berkata kekuatan anggota Bomba yang melakukan pemadaman adalah 37 dan dibantu 14 anggota Angkatan Pertahanan Awam melibatkan tiga sektor.

Sebanyak lima buah jengkaut digunakan untuk kerja ‘fire break’ dan mendalamkan parit untuk dijadikan takungan air untuk pemadaman.

Di samping itu, dua buah ‘Prime Mover’ dan dua buah FRT digunakan untuk mengambil sumber air dari Sungai Kejatau dengan bantuan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Sri Aman.

Menurutnya, operasi di Jalan Kejatau – Lingga ditangguhkan memandangkan tiada kependudukan dan fokus pemadaman hanya tertumpu di lokasi Kampung STC yang berhampiran dengan Bandar Sri Aman dan taman-taman perumahan.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here