Rancang perjalanan awal sempena sambutan Hari Malaysia 2019 esok – ACP Awang Din

0
322

KUCHING: Sambutan Hari Malaysia 2019 akan diadakan pada 16 september 2019 bertempat di Stadium Perpaduan bermula pada jam 7 malam.

Sambutan ini akan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan dif-dif kenamaan seluruh Malaysia serta duta-duta dari negara sahabat.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, dianggarkan seramai 6,000 orang akan hadir dari pelbagai jabatan dan institusi dijemput pada majlis itu nanti.

Katanya, jumlah ini tidak termasuk jumlah pengunjung dari kawasan sekitar termasuk pelancong yang menginap di hotel-hotel di sekitar bandar raya Kuching.

“Bagi memastikan program yang telah dirancang berjalan lancar, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching akan melaksanakan kawalan lalulintas serta lencongan jalan di sekitar venue sambutan dan penutupan.

“Lencongan jalan akan bermula pada jam 6 petang sehingga majlis selesai melibatkan lokasi laluan Bulatan Kesuma Resort, Bulatan Stadium (Lencongan, Lampu Isyarat Jalan Diplomatik/Jalan Stadium, susur masuk ke kampung stadium dan simpang masuk ke lapang sasar menembak Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini.


Beliau menambah, orang awam yang ingin menghadiri dan menyaksikan majlis sambutan ini disarankan menggunakan pengangkutan awam seperti bas, teksi, grab, mycar dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, sekiranya menggunakan kenderaan persendirian, adalah dinasihatkan untuk meletak kenderaan di tempat letak kenderaan seperti berikut – Parkir Awam Zon A, B, C, D dan parkir bas/awam (hadapan Stadium Negeri, Sarawak)

Pada 16 September 2019, perarakan kereta berhias juga akan diadakan di sekitar pusat bandar kuching bermula di hadapan dewan MBKS dan jalan yang akan dilalui seperti berikut; Jalan Padungan, Jalan Central Timur, Jalan Tan Sri Ong Kee Hui, Jalan Taman Budaya, Lampu Isyarat Jalan Badruddin, Lampu Isyarat RTM, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Barrack, Jalan Pearl, Simpang Uob Bank, Jalan Main Baazar, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Abell, Bulatan Sri Aman, Jalan Padungan dan Icom Square.

Perarakan kereta berhias akan berhenti di square tower, kuching waterfront sehingga jam 11 malam. Penutupan jalan akan dibuat di jalan main baazar dan jalan gambier bermula jam 8:30 malam sehingga dibuka semula pada jam 11 malam.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk merancang masa perjalanan masing-masing pada tarikh dan masa sebagaimana yang telah dinyatakan.”

“Sekiranya mempunyai urusan di sekitar kawasan tersebut dan sila patuhi tanda-tanda isyarat kawalan lalulintas serta arahan semasa oleh pegawai polis yang bertugas,” katanya.

Beliau menambah, orang awam dilarang meletak kenderaan di bahu-bahu jalan berdekatan stadium perpaduan dan kuching waterfront yang boleh menyebabkan kesesakan lalulintas kepada pengguna jalan raya yang lain.

Tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada mana-mana orang awam yang mengingkari arahan pegawai polis yang bertugas.

Kerjasama daripada semua pihak amat diharapkan bagi melancarkan majlis sambutan ini.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ipd Kuching di talian 082-221127 atau 082-221129 pada waktu pejabat iaitu dari jam 8 pagi sehingga 5 petang.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here