Guan Eng hanya tahu menyalak

Guan Eng ditempelak, hanya hendak salahkan orang lain soal janji tak ditunaikan

0
444

KUCHING – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ditempelak kerana hanya hendak menyalahkan orang lain dengan mendakwa isu ditinggalkan kerajaan lama menghalang pelaksanaan janji khususnya pemberian royalti minyak dan gas 20 peratus kepada Sarawak sebelum ini.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof berkata, beliau mempersoalkan sikap Guan Eng yang berterusan menyalahkan pihak lain sedangkan Setiausaha Agung DAP itu dan Pengerusia DAP Sarawak, Chong Chieng Jen sendiri yang telah berjanji.

Katanya, beri sahaja royalti minyak dan gas seperti dijanjikan dan jangan lupa 50 peratus daripada hasil kutipan cukai di Sarawak juga mahu diberi kepada kerajaan negeri jika PH berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sudah setahun empat bulan PH berjaya menawan Putrajaya, mana pergi janji anda berdua? Sampai bila hendak menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan dan kegagalan diri?.

“Nampak sangat kamu hanya pandai mencari salah orang, dengan satu jari menunding ke arah kerajaan terdahulu, empat jari lagi tunjuk ke arah diri kamu sendiri yang gagal mentadbir dan mengurus kewangan negara,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

Terdahulu Guan Eng menyatakan kerajaan terdahulu menyebabkan sejumlah besar dana sama ada dibazirkan atau meletakkan Malaysia dalam keadaan bermasalah.

Jelas Menteri Kewangab itu, bercakap mengenai dana RM150 bilion, bukannya satu jumlah yang kecil maka sudah tentu memberi cabaran kepada kerajaan untuk melaksanakan janji.

Tambahnya, rakyat sudah muak dengan alasan kamu yang berterusan menyalahkan kerajaan terdahulu untuk menutup kelemahan dan kegagalan diri.

“Sudah lebih setahun memerintah, keadaan ekonomi bertambah buruk dan rakyat semakin dibebani kos sara hidup semakin tinggi, sedang pada masa ramai yang hilang pekerjaaan.

“Apa yang Guan Eng selaku Menteri Kewangan buat? Cuma mampu menyalak sepanjang masa menyalahkan kerajaan terdahulu tanpa melaksanakan usaha untuk memperbaiki keadaan dan menarik lebih ramai pelabur ke negara ini.

“Malah Guan Eng menakut-nakutkan pelabur dengan tuduhan liar bahawa Sarawak akan bankrap, mungkin beliau sudah lupa kini berada dipihak kerajaan sehingga tindak tanduk masih lagi seperti pembangkang.

“Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin juga sudah beberapa kali dari tahun lalu hingga tahun ini, meminta supaya pemimpin PH berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka dalam PRU-14,” ujarnya.

Justeru itu, Fadillah memberitahu, Guan Eng sepatutnya ikut nasihat Tun Daim atau letak sahaja jawatan jika merasakan diri sendiri gagal melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here