Pembinaan Jambatan Muara Lassa bukti keprihatinan GPS

0
365

DARO – Pembinaan Jambatan Muara Lassa merupakan bukti kegigihan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merealisasikan impian penduduk Daro yang setia dan gigih dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk membangunkan negeri ini.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi berkata, projek tersebut merupakan salah satu projek rakyat yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 16 Julai 2017.

Katanya, majlis pecah tanah itu merupakan yang ketiga bagi jambatan dan jalan pesisir baharu yang dibina di laluan jalan pesisir Sarawak.

“Pembinaan Jambatan Muara Lassa ini berharga RM597.6 juta sepanjang 2.43 kilometer menghubungkan Pulau Bruit dengan Pekan Daro.

“Kos yang saya sebutkan tadi (RM597.6 juta) merupakan bajet kerajaan GPS sendiri yang InsyaAllah dijadualkan siap dalam jangka masa 48 bulan (4 tahun),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah PembinaanJambatan Muara Lassa, Daro yang dihadiri Abang Johari.

Tambahnya, selain Jambatan Muara Lassa yang terletak di Bahagian Mukah, di Lembah Rajang Hilir juga akan dibina Jambatan Paloh, Kuala Igan dan Jambatan Batang Rajang di laluan pesisir baru dari Jalan Pasi, Bahagian Sarikei ke Tanjung Manis Bahagian Mukah.

“Melalui jambatan ini nanti, ianya akan menjadi penggerak dan nadi pembangunan Bahagian Mukah seterusnya kawasan sekitar Daro dan Tanjung Manis.

“Maknanya kawasan ini akan mempunyai jalan perhubungan yang lebih lengkap yang akan memberi kemudahan pengangkutan yang lebih cepat dan sempurna menggantikan kemudahan feri sedia ada di Muara Lassa, Batang Paloh dan Kuala Igan,” jelasnya.

Beliau berkata, pelaksanaan projek itu juga akan membuka akses kepada lebih banyak peluang sosioekonomi dan merancakkan lagi pembangunan dan aktiviti ekonomi di bawah Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE).

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here