SARATOK – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan kereta Perodua Myvi di Kilometer (Km) 1 Jalan Ulu Roban/Selalang malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa, Richat Bin Lanting, 47, dari arah Roban ke Selalang manakala pemandu kereta dari arah Selalang ke Roban/Kabong dalam kejadian sekitar pukul 8.15 malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu berusia 22 tahun yang gagal mengawal kereta semasa melalui selekoh lalu terbabas ke kanan jalan.

“Semasa keretanya hilang keseimbangan, pintu kiri belakang telah merempuh motosikal mangsa yang kebetulan bergerak di jalan bertentangan,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

Sehubungan itu, Alexson memberitahu, perlanggaran itu menyebabkan kedua kenderaan terbabas ke kanan dalam gaung.

“Mangsa seorang petani juga terpelanting ke dalam gaung mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan juga kaki dan kemudian disahkan telah meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Hospital Saratok sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik hospital sama.

“Sementara itu, pemandu kereta itu pula mengalami bengkak mata kanan dan sakit bahagian pinggang,” jelasnya.

Menurut Alexson, ketika kejadian berlaku, cuaca adalah baik.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here