Dua lelaki bersenjata dalam insiden tular ditangkap

0
656

KUCHING – Dua daripada 12 orang yang telah mengepung dan menangkap dua suspek kes tipu ditahan kerana memegang senjata berbahaya.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak,Dato’ Dev Kumar berkata, terdahulu seramai 12 orang tersebut tampil ke IPD Padawan untuk memberi keterangan insiden di mana mereka telah mengepung dan menangkap dua suspek berkenaan.

“Kesemua mereka mengaku berada di tempat kejadian dan dua daripada mereka mengaku memegang senjata berbahaya.”

Dua lelaki berumur 38 dan 22 tahun yang memegang senjata berbahaya iaitu satu cota besi dan tukul telah dirampas dan mereka telah ditangkap,” katanya.

Tambah beliau, siasatan mendapati tidak ada parang yang digunakan semasa insiden dan suspek sebenarnya memegang cota besi, bukannya parang seperti kelihatan dalam gambar yang ditularkan.

“Walaupun undang-undang memperuntukkan tangkapan oleh orang awam, mereka tidak boleh bertindak melampau semasa melaksanakan tangkapan seperti menggunakan senjata berbahaya atau mendatangkan kecederaan kepada penjenayah.”

Orang awam boleh didakwa sekiranya melampaui batasan undang-undang ketika melaksanakan tangkapan awam atau citizen’s arrest,” jelasnya.

Dev memberitahu, kes itu disiasat sebagai ugutan jenayah di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan dan seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Kedua-dua saspek akan direman untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador telah menjelaskan insiden tular itu bukannya isu perkauman sebaliknya berkaitan kes penipuan.

“Saya minta orang ramai jangan cepat percaya hasutan mengatakan kejadian itu berbaur perkauman, sebaliknya ia berlaku secara kebetulan.

“Mohon tentukan faktanya sebelum terpengaruh, pihak polis sedang menjalankan siasatan dan memburu individu yang mengeluarkan parang dalam kes gaduh itu,” ujarnya.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here