Sarawak tolak rasuah

0
426

KUCHING, 28 Ogos: Sarawak hari ini menunjukkan keseriusan negeri itu memerangi gejala rasuah apabila Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg hari ini meminta lebih banyak jabatan kerajaan negeri menubuhkan pelan pengurusan risiko rasuah (CRM).

Ini menurut beliau adalah untuk membantu mereka mengenal pasti risiko rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penggelapan wang di kalangan pegawai mereka.

Jabatan-jabatan utama tersebut harus mencontohi Jabatan Tanah dan Survei (L&S) Sarawak yang menubuhkan pelan CRM dengan kerjasama SPRM.

“Selepas L & S, saya ingin melihat Jabatan Bekalan Air Luar Bandar dan Jabatan Kerja Raya negeri untuk mengikutinya,” katanya pada majlis Hari Integriti dan Inovasi Jabatan Tanah dan Survei di sini hari ini.

Beliau juga melancarkan pelan CRM Jabatan Tanah dan Survei, susulan kepada Pelan Strategik Pengurusan Rasuah yang dilancarkan pada 2016.

Abang Johari mengingatkan jabatan dan agensi kerajaan tentang pentingnya proses yang betul untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pegawai mereka.

“Apa sahaja yang kita lakukan, kita melakukannya secara berperingkat, tetapi ia mestilah betul,” katanya sambil menambah bahawa proses sedemikian perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.

Abang Johari berkata, Sistem Maklumat Tanah dan Survei (LASIS) adalah contoh proses pendaftaran tanah yang telus dan dapat diakses oleh orang ramai.Beliau menambah LASIS, ditubuhkan pada 1994, merangkumi perancangan, tinjauan, penilaian, pentadbiran dan pengurusan tanah.

Abang Johari berkata LASIS telah memenangi beberapa pengiktirafan antarabangsa untuk inovasi dan kreativiti sejak penubuhannya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya kerana mengiktiraf Sarawak sebagai negeri pertama menubuhkan unit integriti dan ombudsman di pejabat ketua menteri.

Ini menunjukkan bahawa SPRM menghargai langkah kerajaan negeri dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Dua hari lalu, Latheefa menggesa negeri-negeri untuk menubuhkan unit integriti di pejabat menteri besar atau ketua menteri dalam usaha untuk mencegah rasuah atau penyelewengan.

Beliau berkata hanya Sarawak telah menubuhkan Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION), dengan harapan agar negeri-negeri lain akan mencontohi Sarawak untuk mengelakkan sebarang kritikan (terhadap pentadbiran kerajaan negeri) dan memulakan proses ketelusan pentadbiran.

Beliau berkata potensi untuk rasuah lebih besar di peringkat negeri berbanding peringkat persekutuan kerana negeri-negeri mempunyai lebih banyak akses kepada pelbagai sumber seperti pembalakan dan perkara yang berkaitan dengan tanah.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here