MIRI – Persekutuan Persatuan- Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) hari ini menerima RM10 juta daripada kerajaan negeri bagi membina Ibu Pejabat dan Pusat Kebudayaan Orang Ulu di Miri.

Cek tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada Presiden FORUM, Antonio Kahti Galis di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, hari ini.

Peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM25 juta yang dijanjikan oleh Ketua Menteri, semasa Simposium Orang Ulu November tahun lepas di Miri.

Antonio ketika dihubungi berkata, pembinaan bangunan itu dijangka bermula pada April atau Mei tahun depan selepas pelan pembangunan diluluskan Unit Perancang Negeri, sebelum memulakan proses tawaran tender.

“Kami amat berterima kasih kepada Ketua Menteri dan kerajaan negeri kerana meluluskan geran tersebut sekaligus merealisasikan impian masyarakat Orang Ulu untuk mempunyai pusat kebudayaan,” katanya petang tadi.

Bangunan dua tingkat itu bakal menempatkan sebuah dewan serbaguna yang boleh memuatkan sehingga 800 tetamu, Galeri Warisan Orang Ulu, dan padang terbuka di tanah seluas 2.2 hektar di Jalan Padang Kerbau, Miri.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here