Projek Saluran Air Bersih akhiri penantian 28 tahun penduduk Long Puak

0
524
 Abang Johari menandatangani plak Projek Bekalan Air Bersih Kampung Long Puak sempena perasmian Jambatan Pehin Sri Adenan Satem di Dewan SJKC Kee Tee di Long Lama baru-baru ini. Kelihatan sama (dari kiri) Dennis dan Khairul Annuar Mansor (dua kanan).

Langkah menyediakan bekalan air bersih untuk kawasan pedalaman di kawasan Baram khususnya Telang Usan bukan sesuatu mudah kerana faktor lokasi dan bentuk muka bumi.

Namun dengan adanya peruntukan kerajaan Sarawak dan kerjasama wakil rakyat, sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat tempatan, usaha ini tidak mustahil.

Perlaksanaan projek saluran air bersih di Long Puak, yang terletak kira-kira 3 jam dari Miri misalnya, merupakan satu lagi kejayaan kerjasama antara NGO, komuniti tempatan dan wakil rakyat di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ia dilaksanakan oleh bersama Pusat Khidmat Masyarakat Telang Usan, Persatuan Gerakan Kemanusian Malaysia (MHM) dan Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (IYC) dengan sokongan kerajaan negeri, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Puak.

Projek itu memanfaatkan kira-kira 500 penduduk dari 30 pintu rumah panjang kampung Long Puak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata projek ini dilaksanakan secara gotong-royong menggunakan peruntukan sebanyak RM499,000 yang diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Justeru saya meminta MHM hadir dan menunjukkan gambar dan video kepada Abang Johari semasa perasmian Jambatan Pehin Sri Adenan Satem tempoh hari, sebagai bukti peruntukan yang diberi sudah digunakan sebaik mungkin.”

“Manakala baki RM7,000 akan diberikan kepada JKKK Long Puak,” kata Dennis mengulas projek itu.

Dennis, Abang Johari melihat pameran Projek Bekalan Air Bersih Kampung Long Puak yang dilaksanakan oleh PGKM menggunakan peruntukan khas kerajaan negeri.

Beliau menambah, GPS akan menyokong projek seumpama ini untuk dilaksanakan di kawasan lain di Baram khususnya Telang Usan.

Pengarah Projek yang juga Presiden PGKM, Khairul Annuar Mansor berkata, 17 Mei lepas merupakan hari yang paling indah apabila buat pertama kalinya paip yang dipasang di rumah penduduk, mula membekalkan air bersih yang diperolehi dari kawasan air terjun yang berdekatan.

“Penantian selama lebih 28 tahun akhirnya menjadi realiti apabila sumber air bersih yang lancar akhirnya diperolehi dan dapat dinikmati oleh semua rumah panjang di Long Puak.”

“Sebelum adanya bekalan air bersih, mereka terpaksa menadah air hujan untuk keperluan harian. Jika tiba musim kemarau, mereka tiada pilihan menggunakan sumber air tasik berdekatan yang kadangkala menyebabkan kegatalan kulit dan pelbagai penyakit lain,” katanya dalam satu kenyataan akhbar selepas menyertai pameran di Dewan SJKC Kee Tee di Long Lama, baru-baru ini.

Katanya, air takungan hujan di tangki yang dibekalkan untuk setiap rumah, tetapi terdedah kepada risiko kebersihan tangki yang tercemar oleh tahi burung dan sebagainya.

Khairul menambah, air hujan adalah sumber air utama penduduk Kampung Long Puak sejak penempatan kaum Kenyah itu dibuka lebih 28 tahun lalu.

Khairul Annuar Mansor, Presiden PGKM merangkap Pengarah Projek Bekalan Air Bersih Kampung Long Puak.

Projek itu bermula pada April tahun ini selepas mendapat peruntukan khas daripada Pejabat Ketua Menteri melalui Pusat Khidmat Masyarakat N77 Telang Usan untuk projek tersebut.

Menurut Khairul, Ketua Menteri secara dasarnya menyokong projek gotong royong air bersih itu dan beliau menyatakan persetujuan untuk membantu.

Projek yang dilaksanakan dalam tempoh dua bulan itu melibatkan hampir 100 sukarelawan dari pelbagai latar belakang iaitu sukarelawan belia, belia tempatan dan krew teknikal berpengalaman.

Golongan wanita di Long Puak turut membantu memasang paip saluran air.

Ujar beliau, ia bermula dengan pencarian sumber air bersih dari kawasan air terjun yang berhampiran sehingga idea untuk pembentukan empangan kecil sebagai takungan air bersih untuk disalurkan ke rumah panjang.

“Semuanya dilakukan secara bergotong-royong oleh kumpulan sekretariat, sukarelawan, krew teknikal dan juga turut dibantu oleh warga belia dan penduduk di kampung tersebut.”

“Antara memori yang tidak dapat dilupakan ialah semasa kumpulan NGO MHM dan warga penduduk Long Puak sama-sama berganding bahu dan memerah keringat untuk memasang paip dan menjatuhkan bongkah konkrit merentangi Sungai Batang Baram.”

Kesungguhan mereka untuk melihat projek ini berjaya dan harapan besar mereka untuk mendapat bekalan air bersih untuk anak cucu mereka sangat jelas terpapar menerusi kudrat yang mereka sumbangkan, kata Khairul.

Ucapan terima kasih daripada penduduk kampung Long Puak, sukarelawan terdiri daripada belia dan PGKM.
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here