MA63 : Tujuh isu setuju, 14 bincang lanjut

0
481

KUCHING, 19 Ogos: Tujuh isu telah mendapat persetujuan bersama pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang keempat 23 Julai lalu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan dihadiri 23 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah turut menetapkan 14 isu masih memerlukan perbincangan lanjut dan dijangkakan akan diputuskan sebelum hujung bulan ini.

Menurut kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO), isu-isu yang telah mendapat persetujuan bersama adalah seperti berikut:

1. Tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan – Perkara ini telah dipersetujui sebagai selesai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Bil. 2/2019 berikutan persetujuan delegasi kuasa kepada Jabatan Perhutanan Sabah telah diberi sejak 1 Jun 2017.

2. Pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersetuju menyerahkan kuasa kawal selia pengedaran gas di Sarawak mengikut Distribution Gas Ordinance (DGO) Sarawak 2016. Manakala Kerajaan Negeri Sabah pula bersetuju untuk melaksanakan Due Diligence sebelum penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik dilakukan.

3. Pelaksanaan Kerja raya Persekutuan dan Negeri – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pemantapan Kolaborasi Pelaksanaan Projek Persekutuan bagi membincangkan 3 mekanisme pelaksanaan projek Persekutuan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan mengambil maklum cadangan di dalam Jawatankuasa Antara-Kerajaan (InterGovernmental Committee –IGC).

4. Tenaga buruh – Kerajaan Persekutuan secara prinsipnya tiada halangan melaksanakan tuntutan berhubung penurunan kuasa kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bagi membuat perundangan subsidiari mengenai “labour conditions peculiar to the state” di bawah Ordinan Buruh negeri masing-masing. Tindakan sedang diambil bagi meminda Ordinan Buruh negeri masing-masing.

5. Kuasa negeri ke atas isu kesihatan – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Libat Urus secara berkala untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan isu pengurusan kesihatan Negeri Sarawak dan Sabah.

6. Pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan – Secara prinsipnya penyerahan kuasa urus tadbir Pulau Sipadan dan Ligitan khususnya berkaitan pelancongan kepada Kerajaan Negeri Sabah telah dipersetujui. Isu teknikal dan keselamatan sedang diperhalusi.

7. Isu pertanian dan perhutanan – Isu pertanian dan perhutanan digugurkan di dalam mesyuarat jawatankuasa ini kerana kedua-dua perkara ini sudah sememangnya di bawah Senarai Negeri. Pasukan petugas khas (Taskforce MA63) telah diarahkan untuk menyediakan satu laporan akhir sebelum 31 Ogos 2019 untuk dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet yang akan datang.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here