200 Pelajar di Kem Pembelajaran Masa Depan

0
394

MIRI: Kem Pembelajaran Masa Depan Mampan yang berlangsung di Curtin Univerity Malaysia (Curtin Malaysia) pada 20 Julai anjuran universiti itu bukan sahaja berjaya mendapat sambutan, namun menambah pengetahuan peserta terhadap pengurusan alam sekitar secara mampan.

Bertemakan ‘Masa Depan Mampan, Menjadikan Esok Lebih Baik’ kem ini bertujuan meningkatkan pemahaman para pelajar betapa pentingnya menjaga dan melindungi alam sekitar termasuk habitat hidupan liar.

Seramai 200 pelajar dan guru dari sembilan buah sekolah menengah di Miri dan Kuching menghadiri kem sehari yang diadakan sempena ulangtahun Curtin Malaysia ke-20.

Semasa kem tersebut, pelbagai aktiviti diadakan termasuk sesi “Brainstorming” untuk membolehkan peserta memberikan idea untuk menangani isu dan cabaran alam sekitar.

Ini termasuk mereka cipta peranti yang boleh digunakan untuk melestarikan alam sekitar. Selain itu, peserta menimba pengetahuan dalam merancang perniagaan dan strategi pemasaran, penyampaian idea di media sosial dan aktiviti yang dapat menampilkan potensi sebenar mereka di luar kelas.

Timbalan Pro Naib Canselor Curtin Malaysia Profesor Beena Giridharan yang melawat kem tersebut memuji para pelajar dan guru yang bersungguh-sungguh mengambil bahagian menjadikan kem itu meriah dan interaktif.

Beliau berterima kasih kepada kakitangan akademik dari Fakulti Kemanusiaan, Fakulti Kejuruteraan dan Sains dan Fakulti Perniagaan serta lebih 40 pelajar antarabangsa Curtin yang bekerjasama menganjurkan kem itu secara komprehensif.

Turut menyampaikan ceramah semasa kem ialah pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Miri, Musa Musbah dan pengasas Future Ocean Borneo and Borneo Ghost Nets Hunter Iqbal Abdollah.

Musa dan Iqbal masing-masing berkongsi mengenai habitat semulajadi kelip-kelip di Piasau Nature Reserve dan terumbu karang di perairan Miri.

“Tahun ini genap 20 tahun cawangan Curtin di Malaysia dan kita komited untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti melibatkan masyarakat tempatan khususnya di Sarawak,” kata Beena.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here