Anak Sarawak boleh berdiri atas kaki sendiri

0
378
Upacara Memotong Kek Sempena Hari Sarawak yang disempurnakan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg
 
 
 
BINTULU – “Yakinlah anak-anak Sarawak boleh berdiri atas kaki sendiri untuk menentukan hala tuju pembangunan meskipun kini ada anasir luar sedang cuba dengan sedaya-upaya melemahkan perpaduan dimiliki ketika ini,” kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg 
 
Menurutnya, segelintir masyarakat pula sudah mula lupa akan perjuangan kita bersama untuk mempertahankan hak-hak Sarawak dan rela dikuasai oleh orang lain untuk kepentingan masing-masing.
 
Bagaimanapun katanya, sempena dengan Perayaan Hari Sarawak pada tahun ini saya dan rakan-rakan berdoa dan mengajak seluruh rakyat Sarawak berdoa agar Bumi Kenyalang ini selamat daripada penguasaan pihak luar dan sentiasa dipelihara oleh Allah SWT.
 
“Saya dan rakan-rakan GPS dalam Kerajaan Sarawak tidak mampu membangunkan Sarawak tanpa sokongan rakyat Sarawak sendiri. 
 
“Lebih 50 tahun kita telah mengharapkan orang lain membantu kita supaya Sarawak boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri yang sudah maju,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2019 di Bintulu, hari ini.
 
Yang turut hadir, Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.
 
Tambah Abang Johari, rakyat juga mesti tahu bahawa setelah diberi kuasa untuk memerintah sendiri pada 22 Julai 1963, Sarawak bersetuju menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dengan bergabung tiga entiti lain, iaitu Malaya, Sabah dan Singapura disamping jaminan bahawa Sarawak ada keistimewaannya. 
 
“Oleh sebab itu, Sarawak diberi hak dan keistimewaan yang tidak diberi kepada negeri-negeri lain di Semenanjung. 
 
“Antara lain Sarawak mempunyai autonomi dari segi imigresen, tanah, hutan dan persempadanan negeri yang tidak boleh dimansuhkan atau diubah kecuali dipersetujui dalam Dewan Perundangan Sarawak iaitu Dewan Undang Negeri,” jelasnya.
 
Abang Johari berkata, Sarawak juga mempunyai hak ke atas sumber aslinya seperti minyak dan gas walaupun ada undang-undang Persekutuan yang cuba untuk menidakkan hak-hak ini. 
 
“Ordinan Minyak dan Perlombongan Sarawak 1958 (OMO) telah digubalkan dalam tahun 1958 semasa pemerintahan British dan undang-undang ini tidak pernahpun dimansuhkan. 
 
“Kuasa Sarawak seperti OMO 1958 ini memberi laluan bagi Sarawak untuk menambahkan pendapatannya. Kita mengenakan Cukai Jualan 5 % ke atas pengeksportan minyak dan produk gas mulai tahun ini dijangka mampu menjana hasil kira-kira RM3 bilion.
 
“Disamping itu, Sarawak mempunyai ekuiti dalam LNG berjumlah 25% kesemuanya yang memberi pendapatan tambahan kepada negeri ini,” jelasnya.
 
Beliau berkata, tahun ini Sarawak dengan bajet RM11 bilion, terbesar dalam sejarahnya mampu membina lebih banyak kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan untuk keselesaan rakyat dan mempertingkatkan perhubungan fizikal dan bukan fizikal. 
 
“Walaupun ada pihak mengatakan Sarawak akan bankrap dalam masa tiga tahun, kita boleh menguruskan ekonomi sendiri dengan baik. 
 
“Ini terbukti dengan rizab yang cukup sihat dan adanya sumber hasil yang baharu kepada Sarawak, kerajaan tidak perlu menggunakan rizab ini untuk menyediakan kemudahan infrastruktur dan utiliti bagi rakyat,” ujarnya.
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here