Wanita direman tujuh hari bantu siasatan kes mayat dalam beg

0
499

KUCHING – Majistret Bau, sebentar tadi meluluskan permohonan reman seorang wanita selama tujuh hari bermula hari ini hingga 28 Julai nanti.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, reman tersebut bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki dalam bagasi di tebing sungai di Kampung Pangkalan, Bau baru-baru ini.

Wanita berusia 56 tahun itu tiada rekod lampau ditahan lebih kurang pukul 9.30 malam tadi di Standford View Kuching oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, seorang suspek berusia 28 tahun direman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Difahamkan, suspek terbabit secara sukarela tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada hari yang sama penemuan mayat berkenaan.

Suspek dipercayai individu terakhir bersama mangsa ditangkap sekitar pukul 11.30 malam di pekarangan Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Selain itu, polis dikatakan menyita sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) dan telefon bimbit suspek.

Sementara itu, mayat mangsa dilaporkan telah dikenal pasti oleh isterinya berdasarkan pakaian yang dipakai namun belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh polis.

Mangsa dipercayai pemilik sebuah kedai menjahit pakaian terkemuka di pusat bandar raya.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here