PBDS Baru minta bantuan Orang Lama

0
360
SIBU: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru berharap tokoh terdahulu parti itu tampil dalam menyumbang idea untuk kebaikan parti.
Setiausaha Agong PBDS Baru Julius Enchana berkata, era Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) terkenal dengan pimpinan Tan Sri Leo Moggie, Datuk Edmund Langgu, Gabriel Adit serta yang lain.
“Kita berharap ahli PBDS yang dahulu dapat bersama kita demi kebaikan PBDS Baru.
“PBDS Baru sekarang terhad dari segi kewangan tetapi kita cuma berharap pemimpin dan ahli PBDS dapat menyumbang idea kepada kita,” katanya menerusi kenyataan media.
Beliau berkata, sokongan dari kaum Dayak yang lain juga penting kerana tujuan penubuhan PBDS Baru ialah mewakili suara Dayak di Malaysia.
Selain daripada itu, Julius turut menangkis tuduhan di laman sosial yang menyatakan parti mereka parti mesra Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, tuduhan itu adalah fitnah dari pihak yang ada perasaan dengki untuk melihat PBDS Baru berjuang dalam politik tempatan.
“Kita menyifatkan tuduhan itu semata-mata sebagai propaganda untuk melemahkan parti selain berniat mempengaruhi rakyat supaya tidak menyokong parti,” jelas beliau.
Tambahnya, PBDS Baru tidak pernah berhasrat untuk menyertai Barisan Nasional (BN), GPS atau PH.
“Perkara ini tidak semudah seperti yang diperkatakan kerana kita mempunyai perjanjian dalam parti.
“Saya begitu terperanjat dengan fitnah yang dilemparkan terhadap parti kami seperti dalam media sosial,” katanya.
Julius juga berkata, sebagai Setiausaha Agung parti itu, beliau tidak pernah menulis surat untuk menyertai GPS atau PH.
“Begitu juga dengan Setiausaha Agung yang terdahulu seperti James Jalai dan Anthony Nais tidak pernah berbuat demikian,” ujarnya sambil berkata PBDS Baru hanya mesra dengan parti komponen dalam Sarawak Baru (SB) yang terdiri daripada PBDS Baru sendiri, State Reform Party (STAR), Sarawak Worker’s Party (SWP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here