RM1 bilion baiki sekolah daif, drama belum selesai?

0
247

KUCHING – Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Peruntukan RM1 bilion yang dicanang-canang Menteri Pendidikan bagi membaiki sekolah-sekolah daif dan kritikal di Sarawak rupanya belum selesai lagi.

Dilaporkan sebelum ini, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee setuju dan Ketua Menteri, Abang Johari Tun Openg pun setuju dengan penyelesaian pintar berkenaan.

Penyelesaian pintar di mana pembayaran hutang ditukar ganti untuk pembangunan sekolah yang jelas akan memberikan manfaat dan kegembiraan kepada 436,000 anak-anak di Sarawak.

Malah Dr Maszlee katanya balik dari Sarawak tanpa bertangguh mengemukakan persetujuan yang dicapai kepada Jemaah Menteri untuk menggunakan hutang Kerajaan Negeri Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembangunan sekolah daif.

Jemaah Menteri bersetuju tanpa bantahan!

Ini sebuah idea yang baik dan merupakan satu bentuk penyelesaian pintar kerana tidak melibatkan apa-apa peruntukan tambahan, sebaliknya menggunakan wang hutang demi manfaat rakyat yang pulangannya amat berharga buat rakyat Sarawak.

Bagi pastikan peruntukan digunakan sebaiknya, Jemaah Menteri akan pantau semua projek yang berkaitan ini dan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan serta Kerajaan Negeri Sarawak akan ditubuhkan untuk memastikan tadbir urus pelaksanaan projek ini menepati ciri-ciri bersih, cekap, amanah.

Namun lain nada pula kenyataan Kementerian Kewangan kelmarin yang mana sudah tentu mendapat lampu hijau daripada bosnya iaitu saudara Lim Guan Eng.

Apa kata kenyataan itu?

Kerajaan Sarawak sehingga kini masih lagi belum memberikan sebarang maklum balas kepada Kerajaan Persekutuan berhubung TAWARAN PINJAMAN RM1 bilion yang diperuntukkan untuk projek membaik pulih sekolah daif di negeri itu.

Pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung kaedah pelaksanaan membaik pulih sekolah daif di Sarawak dengan menetapkan empat mekanisme perundangan, telah pun dijelaskan kepada kerajaan negeri semasa mesyuarat di kementerian itu pada 11 Mac lalu diikuti dengan surat bertarikh 20 Mac lepas.

Kementerian itu turut menjelaskan terdapat empat mekanisme yang perundangan yang telah ditetapkan iaitu pertama kerajaan negeri Sarawak hendaklah membayar balik sehingga RM1 billion daripada jumlah hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan.

Langkah ini selaras dengan penetapan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Lihatlah babak terbaharu ini, kata tawaran pinjaman RM1 bilion pula…

Malah Sarawak kena bayar hutang dulu sebanyak RM1 bilion sebelum peruntukan diberikan bagi membantu anak-anak Sarawak mendapat pembelajaran yang kondusif, soal keselamatan mereka diselesaikan.

Ada saja karenah birokrasi yang dilihat seperti mahu menyusahkan kerajaan negeri tanpa melihat keutamaan yang pokok iaitu kesejahteraan pelajar di Bumi Kenyalang ini.

Apa dapat disimpulkan penulis dengan kata mudah, bayar dulu hutang baru peruntukan disalurkan. Adakah ini polisi atau dasar Kerajaan PH kepada semua negeri? Harapnya tidaklah ya, habis nanti negeri-negeri yang berhutang tak dapat peruntukan baharu kelak.

Bagaimanapun, kerajaan Sarawak sudah pun setuju nak bayar berperingkat-peringkat demi anak-anak di sini seperti dilaporkan pada Mei lalu.

Tak payahlah nak terus memanjang cerita, buat kenyataan-kenyataan yang memeningkan rakyat marhain di bawah ini.

Duduk berdepan semua pihak berkepentingan, terus buat kata putus dan selesaikan.

Kita mahu anak-anak bersekolah termasuk tenaga pengajar di Sarawak dan di mana sahaja mendapat akses luas, selesa dan selamat. Bukannya menunggu masa ia dimakan anai-anai, roboh ataupun dibawa arus sungai!

Janganlah lihat soal duit, hutang sahaja tanpa melihat aspek kesejahteraan rakyat, keadaan 436,000 pelajar di Sarawak… Mungkin nak elakkan negara muflis seperti disebar pada kempen PRU lalu agaknya.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here