Pelihara ikan semah, imbau kenangan bersama ayah

0
547
 

Raut Kading sedang memberi makan ikan Semah jinak di Sungai Tengoa, Long Lidung Lawas.

MELIHAT ikan sungai seperti semah yang terperangkap dalam pukat dan jala sambil menikmati kedinginan air jernih yang mengalir di celah-celah batu adalah pengalaman yang cukup indah bagi penduduk kampung yang tinggal berhampiran sungai.
Bagi Raut Kading, 57, keriangan zaman kanak-kanak menangkap ikan sungai bersama ayah sekitar tahun 70an di Sungai Tengoa, Long Lidung, Lawas masih segar dalam ingatan sehingga ke hari ini.
“Dari kecil lagi saya sering mengikuti ayah ke Sungai Tengoa memandangkan ia adalah sumber rezeki penduduk kampung apabila ikan yang diperoleh dijadikan lauk untuk dimakan sekeluarga.”
“Bagi saya, ini mempunyai nilai sentimental yang tidak dapat ditukar ganti atau dibeli. Nostalgia itu meninggalkan kesan yang mendalam sehingga saya bertekad untuk melindungi sungai dan memastikan populasi ikan di situ tidak pupus,” katanya baru-baru ini ketika ditemui di tapak Projek Tagang Long Lidung kira-kira 30km dari Lawas.
Raut merupakan salah seorang peserta Kempen Sistem Tagang yang diperkenal pada tahun 2006 oleh Jabatan Pertanian Sarawak untuk melindung, memulihara dan mengurus sumber perikanan serta persekitaran sungai.
Beliau yang merupakan pengerusi Ahli Jawatankuasa (AJK) Long Lidung berkata, projek membiak ikan Semah atau nama saintifiknya ‘Tor Douronensis’ di Sungai Tengoa meliputi kawasan seluas 2.4 kilometer panjang melibatkan 12 buah keluarga suku kaum Lun Bawang.
Katanya, kawasan sungai itu dibahagikan kepada tiga zon iaitu tangkapan hidupan air dalam beberapa kali setahun dengan kebenaran AJK Tagang (kuning), tangkapan hidupan air hanya setahun sekali (hijau) dan tangkapan hidupan air dilarang sama sekali (merah).
Semasa Tagang atau ‘closed season’, penangkapan semua hidupan air seperti ikan, udang, labi, katak, siput dan belut dilarang sama sekali. Manakala semasa Tagang dibuka, penduduk boleh menuai ikan dan hasilnya dibahagi sama rata.
Tambah Raut, penduduk di sini tidak pernah melepaskan anak ikan Semah ke dalam sungai kerana ia membiak secara liar.
 “Melalui projek Tagang, kami dapat memulihkan alam sekitar sungai manakala sumber perikanan sungai yang hampir pupus dapat dipulihara.”
“Pengeluaran dan pendaratan ikan sungai tempatan meningkat dan ini secara tidak langsung menambah sumber pendapatan peserta terlibat,” kata Raut.
Ikan Semah yang sudah besar dijual di Lawas dengan harga sekitar RM80 sekilo. Sejak tahun 2013 hingga sekarang, kira-kira 10,000 ekor ikan Semah sudah dijual kebanyakan pembeli adalah penduduk Lawas sendiri.
Menurut Raut, ikan yang paling besar pernah dijual ialah seberat 2.8 kilogram.
Antara pencapaian cemerlang AJK Long Lidung setakat ini ialah Johan dua tahun berturut-turut bagi Kategori Usahawan Jaya Projek Tagang sempena Hari Peladang Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri 2011 di Bintulu dan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri 2012 di Limbang.


Daya Tarikan Utama
Menariknya, ikan Semah di sini jinak dan pengunjung berpeluang mandi-manda sambil memberi ikan di kawasan itu makan.
Raut turut menunjukkan kebolehan ‘memanggil’ ikan Semah kepada penulis, dengan memalu botol air kosong di permukaan batu yang terdapat ditebing Sungai Tengoa.
Kelihatan berpuluh-puluh ekor ikan Semah datang dan berkumpul dipermukaan sungai yang jernih menunggu untuk diberikan makan baja ikan.
Uniknya, baja itu harus diletak digenggaman tangan kiri manakala tangan sebelah kanan memegang ikan Semah seolah-olah ia disuap. Bagi pengunjung yang mahu mencuba pengalaman baru, memberi makan ikan Semah di telapak tangan n adalah satu pengalaman yang mengujakan.
“Semasa peringkat awal sistem Tagang, ikan tersebut amat liar malah sukar kelihatan walaupun diumpan dengan baja. Tugas menjinakkan ikan Semah mengambil masa kerana perlu mematuhi jadual pemakanan yang ketat.”
“Selain itu, saya meluangkan masa bermain dan berenang untuk membiasakan hidupan itu dengan manusia,” kata Raut.
Selain memakan baja, ikan Semah di sini turut memakan buah segugui (buah ikan) yang banyak tumbuh di tebingan Sungai Tengoa.
Cabaran yang dihadapi
Meskipun pada mulanya sistem Tagang berjaya meningkatkan populasi ikan Semah, namun jumlahnya sekarang sudah berkurangan ekoran masalah pencemaran di hulu sungai.
Raut berkata, aktiviti pembalakan di hulu sungai sejak beberapa tahun lalu menyebabkan air sungai di situ keruh sehingga menjejaskan pembiakan ikan Semah.
Beliau menambah, Sistem Tagang hanya boleh dilaksanakan dengan jayanya jika hulu air Sungai Tengoa tidak dicemari aktiviti pembalakan.
Tinjauan jabatan kerajaan di sepanjang 20 kilometer projek tagang itu dilaksanakan baru-baru ini mendapati populasi ikan sekitar 10 kilogram sahaja.
“Beberapa tahun dulu terdapat ratusan ikan semah di sini, namun kini jumlah tersebut kian berkurangan. Sekarang tidak banyak ikan, keadaan air yang keruh menjejaskan telur ikan.”
“Kami bergantung sepenuhnya dengan Sungai Tengoa memandangkan komuniti di sini tidak berminat memelihara ikan dalam kolam,” katanya.
Beliau bimbang, populasi ikan semah akan pupus sekiranya pembalakan ini tidak dihentikan.
Perancangan Masa Depan
Raut berharap suatu hari nanti projek Tagang di Long Lidung dapat dikembangkan sebagai pusat perintis pembiakan ikan Semah yang utama di Sarawak.
Katanya, perbincangan mengenai projek semaian ikan Semah itu sudah dilakukan namun ia hanya dapat dilaksanakan sekiranya kerajaan memberikan peruntukan.
“Melalui projek ini, kami memilih induk ikan Semah yang bagus untuk disuntik. Langkah ini dapat mempercepat pembiakan ikan. Anak ikan yang besar boleh dijual untuk menjana pendapatan peserta.”
Selain  menjadi pusat semaian ikan Semah, Long Lidung berpotensi tinggi dalam kegiatan eko pelancongan.
“Ramai pelancong dalam dan luar negara datang ke sini untuk melihat ikan selain menikmati keindahan alam semula jadi sini,” katanya sambil menambah setiap pelawat dikenakan yuran masuk yang minima untuk membiayai kos membeli makanan ikan.
Beliau juga berharap kemudahan komunikasi di kawasan Long Lidung dapat dinaiktaraf untuk memudahkan perhubungan memandangkan ia terletak tidak jauh dari Lawas.
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here