Segerakan pembinaan Jambatan Marudi

0
352

MARUDI: Kontraktor yang bertanggungjawab melaksanakan projek Jambatan Marudi digesa tidak lagi melewatkan kerja-kerja pembinaan atau perkhidmatan mereka boleh ditamatkan.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata, projek berprofil tinggi yang dibiayai oleh kerajaan negeri dengan kos RM75,587,188.56 itu dijadualkan bermula pada 25 Januari tahun ini sehingga 24 Januari 2022.

Penguang menegaskan, projek tersebut sepatutnya sudah bermula enam bulan lalu namun sehingga hari ini tapak pembinaan projek itu belum menunjukkan sebarang perkembangan.

“Saya mahu projek ini berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan demi rakyat Marudi. Saya memandang serius perkara ini kerana ribuan penduduk di sana amat mengharapkan projek ini siap.”

“Kita memberi pihak kontraktor peluang untuk melakukan projek ini. Sekiranya mereka gagal menunjukkan prestasi yang menyakinkan, kita tiada pilihan selain menamatkan perkhidmatan mereka,” katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan kontraktor H.K.K & Salem Construction Sdn Bhd di sebuah hotel di Marudi hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi semasa melawat tapak projek itu kesal kerana setakat ini hanya dua jentera kelihatan membersihkan tapak projek.

Tegas Penguang, beliau tidak mahu pihak tertentu menggunakan isu kelewatan kontraktor ini untuk menyalahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan menunjukkan seolah-olah beliau tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di Marudi.

“Saya tidak mahu pihak tertentu mengambil kesempatan ini untuk menyalahkan kerajaan sedangkan kelewatan bukan berpunca daripada kerajaan,” katanya.

Projek pembinaan jambatan merentasi Batang Baram sepanjang 650 meter dengan jalan dua lorong sehala itu kelak akan menyingkatkan lagi perjalanan di antara Miri dan Marudi.

Di samping itu memudahkan pengguna terutama pelancong yang mahu berkunjung ke Marudi atau meneruskan perjalanan mereka ke Taman Negara Gunung Mulu melalui jalan darat dari Marudi.

Ketika ini khidmat feri masih diperlukan dengan kereta dan pengguna berbaris panjang untuk menggunakannya, terutama jika acara atau keramaian diadakan di Marudi.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here