Sarawak Merdeka pada 31 Ogos 1963?

0
560
 
 
Mukadimah
Sebelum Brooke menjajah Sarawak sebagai estet peribadinya pada tahun
1841, Sarawak adalah sebuah wilayah yang terpisah daripada pakatan
Inggeris- Belanda pada tahun 1824. Walau bagaimanapun keengganan
Pangeran Indera Mahkota dalam mencapai titik perdamaian dengan
masyarakat tempatan pada 1839, menyaksikan wilayah tersebut berada dalam
situasi konflik sehingga membawa kepada campur tangan asing untuk
“mendamaikan” mereka. Sungguhpun demikian dalam 100 tahun pemerintahan
Keluarga Brooke, Brunei yang memiliki Wilayah Sarawak secara langsung
dari Tg Kidurong hingga ke Lawas, mengecil sedikit demi sedikit lantaran
ketamakan dan kecilikan Charles Brooke dalam mengukuhkan kuasanya di
Timur dan pembesaran estet keluarganya itu.
Penulisan ini adalah satu bentuk
perbincangan yang terbuka tentang status Sarawak sebelum terbentuknya
Malaysia pada 16 September 1963. Ia menjurus kepada pengetahuan am dan
pengetahuan sedia ada kita tentang sejarah Sarawak yang perlu kita tahu
bagi mengelakkan kekeliruan maklumat yang akhirnya menimbulkan polemik
dan konflik kepada masyarakat di Malaysia khususnya di Sarawak.
Status Kemerdekaan Sarawak pada Tahun 1888.
Sarawak diiktiraf sebagai negeri Merdeka dalam Pernaungan British pada 5
September 1888. Kuasa eksekutif tertinggi masih dipegang oleh Charles
Brooke walaupun menerima naungan daripada Queen Victoria di London.
Perjanjian Enam Perkara di antara Charles Brooke dan Kerajaan British
ini berjalan seperti biasa walaupun tidak mempunyai apa-apa kesan kepada
pentadbiran kedua-dua pihak ini.
Namun, pada November 1941, Perjanjian ini diperbaiki semula dengan satu
lagi Perjanjian sebanyak Lima Perkara bagi memastikan taraf Sarawak
sebagai negeri Naungan Raja Great Britain dikekalkan dan jaminan
keselamatan terhadap Sarawak diberi oleh Great Britain. Namun usaha
British untuk menundukkan pengaruh Vyner Brooke tidak kesampaian apabila
Jepun menyerang Sarawak pada 24 Disember 1941. (Castle, 275)
 
Sarawak selepas Perang Dunia Kedua
Selesai peperangan di Pasifik, Pasukan Tentera Australia mengambil alih
kedudukan dan pentadbiran di Sarawak. Pada masa perang, kerajaan buangan
dikendalikan oleh Vyner Brooke di Australia. Setelah Vyner Brooke
pulang ke Sarawak, timbul isu lama yang tidak berkesudahan untuk mencari
pengganti Raja yang berusia 71 tahun tersebut. Dari segi hierarki,
kedudukan anak saudaranya Anthony berada dalam kedudukan teratas. Namun
usaha Vyner dan isterinya Sylvia untuk memastikan kerajaan di Sarawak
ditadbir oleh darah daging mereka sendiri iaitu Leonara tidak berhasil
kerana mendapat tentangan daripada gereja.
Walaupun Anthony mendapat gelar Rajah Muda daripada ayahnya yang
begawan, tetapi Vyner tidak menyukai beliau kerana sikapnya yang selalu
berkonfrontasi dengan ayah saudaranya itu. Ketidak tentuan inilah
merupakan alasan kukuh untuk Vyner menerima tawaran British bagi
menjadikan Sarawak sebagai Koloni Inggeris di Timur selepas Perang Dunia
Kedua.
Alasan Vyner kepada masyarakat dunia pula ialah ketidak upayaan beliau
membangunkan Sarawak yang musnah akibat perang sedangkan menurut laporan
perbendaharaan jumlah simpanan Kerajaan pada masa tersebut ialah
sebanyak 2,250,000 pound dan tidak mempunyai hutang kepada sesiapapun.
(Nordie, 116).
Akhirnya pada 1 Julai 1946, Sarawak jatuh menjadi sebuah Koloni British
yang menerima pertuanan British selepas tarafnya sebagai naungan Duli
Mahkota British direndahkan sebagai subjek British. Ia berlangsung
selama 17 tahun sehinggalah Sarawak dimerdekakan pada 1963.
Gagasan Malaysia dan Taraf Sarawak 
Pada 1961, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman
Putra membina satu gagasan Penubuhan Negara Baharu dinamakan Malaysia.
Bagi rakyat di Sarawak, terdapat dua pendapat iaitu bersetuju dan tidak
bersetuju untuk Malaysia. Mereka yang bersetuju adalah mereka yang
berada dalam kelompok kelas Menengah dan juga terpelajar dalam kalangan
bumiputera. Kelompok yang tidak bersetuju adalah masyarakat Cina yang
diresapi oleh roh Komunis yang merebak dari Kalimantan melalui lidah
rakyat mereka, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan pegawai-pegawai
kanan British di Sarawak yang menjadi Tuan kepada penduduk Sarawak. 
Persekutuan Malaysia mengambil masa selama dua tahun untuk dimuktamadkan
sehinggalah semua pihak menandatangani Perjanjian Malaysia pada 9 Julai
1963. Kelima-lima pihak itu ialah Persekutuan Tanah Melayu, Great
Britain, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah). Brunei menarik
diri dengan alasan-alasan mereka tersendiri.
Pada 18 Julai 1963, berlaku satu mesyuarat dalam kalangan Perikatan
Sarawak yang membentuk majoriti di Dewan Negeri Sarawak pada 24 Jun
1963. Tujuan mesyuarat tersebut adalah untuk memilih Ketua Menteri
Sarawak yang pertama. Walaupun SNAP bukanlah parti tulang belakang
perikatan dan menang sedikit kerusi sahaja berbanding Berjasa dan
Pesaka, namun atas nama tolak ansur, SNAP yang diwakili oleh Setiausaha
Agungnya, Encik Stephen Kalong Ningkan dipilih untuk mengepelai jawatan
eksekutif tersebut.
Pada 22 Julai 1963, berlaku pewartaan jawatan eksekutif yang kemudiannya
dilakukan upacara angkat sumpah sebagai Kabinet Negeri di hadapan
Gabenor British, Sir Alexander Waddell.
Benarkah 22 Julai 1963 adalah Hari Berkerajaan Sendiri? 
Isu ini diperdebatkan sejak sekian lama. Malah menjadi isu dan polemik
yang lebih hebat lagi apabila tarikh ini juga disalah anggap sebagai
Tarikh Kemerdekaan Sarawak.
22 Julai sebagai hari Isnin biasa pada hari tersebut, hanyalah upacara
Pelantikan Ketua Menteri Sarawak dan lima orang menteri kabinet negeri.
Tugas mereka adalah bagi menjalankan tugas prinsipal dalam bidang
eksekutif di bawah pentadbiran Gabenor British tanpa menjejaskan satupun
fungsi Gabenor yang merupakan kuasa tertinggi dalam Pentadbiran
Sarawak.
Lantikan ini hanya akan berfungsi sekiranya tempoh relinquishment
(penyerahan) kedaulatan Baginda Queen kepada Persekutuan Baharu bernama
Malaysia itu dizahirkan iaitu pada 16 September 1963. Hal ini
dinyatakan secara terus dalam Perjanjian Malaysia ( Artikel IV ) yang
ditaati kandungannya oleh semua pihak di Sabah dan Sarawak. 
 
Artikel IV memperuntukkan penyerahan kedaulatan Duli Yang Maha Mulia
Baginda Queen ke atas Borneo Utara, Sarawak dan Singapura bermula pada Hari Malaysia.
 Namun demikian, mengikut Perjanjian asal Hari Malaysia jatuh pada 31
Ogos 1963. Atas faktor-faktor tertentu, Hari Malaysia telah dipinda pada
Artikel II bertarikh 28 Ogos 1963 di Singapura kepada 16 September
1963. 
Tarikh 16 September ialah tarikh di mana semua Perjalanan Pentadbiran
Kerajaan dipulangkan kepada Anak-anak negeri yang Merdeka seperti yang
terkandung dalam Kembaran A, selaras juga dengan Artikel IV yang dibincangkan tadi. 
Bilakah Tarikh Berkerajaan Sendiri?

  

 
Dalam Sarawak Gazette bertarikh 31 Ogos 1963, telah dinyatakan bahawa Sarawak mencapai status Berkerajaan Sendiri pada 31 Ogos 1963. Begitu juga dengan kata-kata yang diungkapkan oleh Tuan Yang Terutama Gabenor pada 16 September 1963.
 
Begitu juga mesej yang disampaikan oleh Ketua Menteri yang mengatakan
bahawa 16 September 1963 adalah Hari Kemerdekaan Sarawak dan Hari
Malaysia. 
 
Kesimpulan
 
Sarawak tidak menyambut Hari Berkerajaan Sendiri ataupun Kemerdekaan
pada 22 Julai 1963. Inisiatif kerajaan bagi menjadikannya dikenang
sebagai Hari Sarawak masih belum ada alasan yang kukuh walaupun sudah
dua kali diraikan. Setiap tahun konsep yang sama ditekankan dalam
sambutan tersebut seolah-olah tiada apa-apa yang boleh hendak
diungkapkan dalam tarikh yang bercelaru tersebut. Sekiranya adapun, ia
hanyalah sebagai penghayatan dalam memahami detik-detik bersejarah
sebelum Sarawak menjadi negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.
Walaupun penulis melawan arus daripada seorang sejarahwan yang disegani
di negeri Sarawak ini, namun pada hemat penulis, Hari Malaysia
satu-satunya hari yang selaeas dengan dengan Perjanjian Malaysia yang
ditaati oleh pelbagai pihak tersebut. Jika ada yang tidak mengiktiraf
Hari Malaysia sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak pada 16 September 1963
samalah juga dia tidak menghormati Penjanjian Malaysia yang sering
dilaungkan sebagai satu Perjanjian yang harus dipatuhi. Perkara paling
mudah dalam hidup ialah melupakan apa yang telah ditetapkan. 
 
 
Sumber :
1. Castle A.C (2003) The Constitutional And Legal History of Sarawak, Kuching, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak.
2. Nordi Achie (2013) Kolonialisme dan Kristianisasi Melayu di Sarawak
1850-1950, Kota Kinabalu, Penerbit Universiti Malaysia Sabah.
3. Sarawak Gazzette 31 Ogos 1939, 31Ogos 1963 dan 30 September 1963
4. Ho Ah Choon Historical Event 1963 
5. Chicago Tribune Online Version, February, 14 1946

 

 
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here