Air Terjun Tekiwit, Long Selaan

0
867

Menyaksikan dua air terjun mengalir deras dikelilingi pemandangan gunung-ganang menghijau, antara pemandangan sukar dilupakan jika berkunjung ke Air Terjun Tekiwit atau Air Terjun Sela’an.

 Airnya yang mengalir deras di celah-celah batu, jernih dan sejuk pastinya menjadikan mandi manda begitu menyeronokkan.

Pokok-pokok hijau dan angin segar pastinya membuat aktiviti riadah anda di sini lebih bermakna.

 Terletak di Long Selaan, Ulu Baram, air terjun ini boleh didatangi dari Miri melalui jalan balak yang mengambil masa perjalanan selama enam jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda melintasi kem pembalakan.

Jika mahukan perjalanan lebih selesa dan singkat, anda boleh menggunakan perkhidmatan penerbangan MasWings dari Miri ke Lapangan Terbang Long Akah, yang hanya mengambil masa 40 minit.

 Bagi pengunjung yang merancang untuk melakukan pelbagai aktiviti dan tinggal beberapa hari di sana, anda boleh tinggal di Long Segah Selaan Onestop Homestay yang menawarkan pakej menarik dengan harga berpatutan.

 Salah seorang pemilik homestay, Arthur Jalong Lawai berkata, kemudahan tempat itu berhampiran dengan Air Terjun Tekiwit bagi memudahkan para pengunjung untuk melakukan aktiviti seperti berkelah, treking dan hiking.

Katanya, homestay ini dimiliki oleh ayahnya, Joseph Lawai Apoi dan dikendalikan sepenuhnya oleh keluarga mereka.

 “Kami menawarkan pakej tiga hari dua malam termasuk makan, minum dan pengangkutan atau konvoi dari Miri bersama kakitangan kami menggunakan kenderaan sendiri.

Pastikan pemandu seorang yang arif cara pemanduan di jalan kem balak,” katanya.

 Arthur menambah, homestay mereka menyediakan kemudahan dapur tidak halal dan halal untuk memudahkan semua pengunjung.

Bagi yang mahu menyediakan masakan sendiri, peralatan dapur turut disediakan dengan kadar bayaran tertentu.

Selain itu homestay turut menyediakan sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

 “Bagi yang mahu memancing, kami menyediakan dua buah bot dan jika bernasib baik anda dapat memancing ikan semah atau empurau,” katanya sambil menambah aktiviti lain ialah camping, barbeku dan pandu uji motor air.

 Aktiviti camping di kawasan homestay dibenarkan sekiranya anda tidak mahu tidur di bilik homestay.

 Selain itu, pengunjung boleh melihat kehidupan seharian Penan dengan hanya berjalan kaki ke penempatan mereka.

 Menurut Arthur, setakat ini homestay mempunyai 12 bilik dan lima tandas. Setiap bilik boleh memuatkan empat hingga lima orang dengan kemudahan katil single bed dan double bed.

- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here